Bulan Ramadan Bulan Keberkatan


Puasa Ramadan ertinya menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari pada bulan Ramadan. Hukum puasa Ramadan adalah wajib bagi umat Islam.

Umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, mengeluarkan kata-kata buruk atau sia-sia, serta bertengkar atau bergaduh. Ini kerana puasa merupakan medan latihan memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur dalam diri. 
Secara tidak langsung amalan puasa akan menyuburkan sikap murni di dalam diri pelakunya. Adalah menjadi harapan kita agar kesemua nilai yang baik ini akan terus dipraktikkan ke bulan-bulan berikutnya.

Bulan Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan. Di dalam bulan Ramadan ada satu malam yang lebih baik dariapada seribu bulan iaitu Lailatul Qadar atau Malam al-Qadar. 
Lailatul Qadar atau Malam Qadar ialah satu malam dalam bulan Ramadan yang lebih baik daripada 1,000 bulan. 

Sesiapa yang beramal pada malam tersebut sama seperti beramal selama 1,000 bulan, iaitu bersamaan 83 tahun 4 bulan, jika mendapatnya selama 10 tahun bersamaan beribadat lebih 833 tahun, jika mendapatnya selama 20 tahun bersamaan lebih 1,666 tahun, jika mendapatnya selama 30 tahun mendapatnya bersamaan 2,500 tahun, berbahagialah orang yang tidak pernah meninggalkan solat Isyak berjamaah dan solat Tarawih kerana orang yang solat Isyak berjamaah dan solat Tarawih termasuk dari kalangan orang mendapat Lailatul Qadar, dan Rasullah s.a.w. mengatakan sesiapa yang tidak mendapatnya dia adalah tergolong daripada orang yang amat rugi. 

Lailatul Qadar satu malam dalam bulan Ramadan yang tidak diketahui dengan tepat tarikhnya. Ia lebih diharapkan untuk mendapatkannya pada 10 malam yang terakhir Ramadan, terutama malam-malam yang ganjil daripada 10 hari terakhir Ramadan tersebut. Waktunya dikira apabila masuk waktu Maghrib sehingga terbit fajar. Pada malam al-Quran diturunkan, malam Qadar berlaku pada 17 Ramadan, sementara menurut al-Mubarakfury al-Quran turun pada malam 21 Ramadan. 

Orang yang pasti mendapat sebahagian Lailatul Qadar ialah orang yang solat Fardhu Maghrib dan Isyak secara berjamaah sepanjang bulan Ramadan, dan dia tidur dengan azam yang kuat untuk solat Subuh berjemaah. Sabda Rasulullah s.a.w. “Sesiapa yang sholat ‘Isya` berjemaah, maka seolah-olah dia telah berqiyamulail separuh malam; Dan sesiapa yang sholat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah bersolat sepanjang malam.” (Hadis Sahih Riwayat Imam Tarmizi, Ibnu Majah dan Nasai)

Pahala puasa Ramadhan amat besar. Orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja, bukan saja telah melakukan satu dosa besar, bahkan dia mengalami satu kerugian yang amat besar, satu hari puasa yang ditinggalkan tersebut tidak boleh ditebus dengan apa jua cara, tidak boleh ditukar ganti, sekalipun orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidupnya. 

Ini jelas sebagaimana sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam: Maksudnya: “Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (uzur syarak) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup.” (Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah).

Manakala perkara-perkara berikut akan membatalkan puasa jika terjadi:
Makan dan minum dengan sengaja walaupun pada nilaian dan kadaran yang sedikit pun , seperti memakan saki baki makanan kecil yang terlekat pada celah gigi dan lain-lain lagi.
Muntah dengan sengaja 
- Bersetubuh 
- Mengeluarkan air mani dengan sengaja 
- Keluar darah haid atau nifas
- Hilang akal (seperti gila) 
- Pitam(termasuk pengsan) atau mabuk sepanjang hari. 
- Merokok disiang hari.(Termasuk menghisap ganja atau dadah
- Murtad (keluar dari Islam) 
- Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka seperti menyembur pewangi atau menyegar mulut dan            sebagainya.Larangan ini tidak termasuk memasukkan air atau udara kedalam rongga terbuka kerana ingin      berwuduk atau melegakan kesakitan dan ketidakselesaan pada rongga(dengan syarat air tersebut tidak          diminum atau ditelan dengan sengaja).

Terdapat kelonggaran (harus) kepada golongan yang berikut untuk berbuka:

- Orang yang sakit .
- Orang yang berkerja buruh.
- Orang yang dalam musafir (perjalanan).
- Orang tua yang sudah lemah.
- Orang yang hamil dan ibu yang menyusukan anak.